Friday, October 10, 2008

Si Pin ketua Pemuda Gerakan



Oct 10, 08 4:23pm
Lim Si Pin, anak bekas presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik, dipilih sebagai ketua pemuda parti itu.

Lim memperoleh 242 undi menewaskan pencabarnya Chai Tek Loong yang mendapat 105 undi dan Tan Keng Liang yang memperoleh 115 undi.

Keputusan pemilihan Pemuda Gerakan itu diumum di persidangan perwakilan Pemuda, yang berlangsung di ibu pejabat parti di Menara PGRM di ibunegara hari ini.

Untuk jawatan timbalan ketua pemuda, gandingan Lim, Paul Yong Yoon Kong tewas kepada Oh Tong Keong. Yong memperoleh 188 undi berbanding Oh yang mendapat 274 undi, demikian dilaporkan Bernama.

Bagi tiga jawatan naib ketua pemuda pula, Liang Teck Meng mendapat undi paling tinggi iaitu 408 undi diikuti Vincent Hooi Wy-Hon (371 undi) dan David Ang Chin Tat (226 undi).

Dua lagi calon yang tewas ialah S. Vijaya Kumar, yang menerima 201 undi dan Stephen Doss yang mendapat 141 undi.

Sebanyak 28 calon bertanding bagi mengisi 18 tempat dalam jawatankuasa pusat pemuda Gerakan.

Mereka yang dipilih ialah Tan Kok Seng, Hng Chee Wey, Alex Ong Yeok Leng, Jack Cheow Woon San, Khor Hock Peng, A.Kuhan, Lau Hoi Keong, Chong Chee Yen, Cheah Chee Kuan dan Ou Kwee Hua.

Yang lain termasuk Khoo Kha Shin, Ong Teng Boon, Dr Dominic Lau Hoe Chai, Ong Boon Hong, Tan Keit Hock, Chia Gim Tiong, Chang Shui Kiong dan Yap Chen Heng.

Sementara itu, Lim, 39, ketika ditemui pemberita berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi menguatkan parti dan melakukan perubahan dalam tempoh tiga tahun ini.

"Saya mahu Pemuda Gerakan menjadi organisasi pemuda pertama di negara ini yang mendapat ISO 9001. Itu adalah cara untuk menguatkan parti kita," kata Lim yang merupakan seorang ahli perniagaan.

Beliau juga bercadang menubuhkan Persatuan Anak Malaysia untuk menarik minat golongan muda menyertai persatuan itu.

"Ini boleh menjadi platform kepada mereka untuk duduk, berdialog dan berbincang mengenai isu politik dan semasa," katanya.

Sementara itu Oh, 40, yang tidak menyangka memperoleh kemenangan itu berjanji akan berusaha menarik lebih ramai anggota baru ke dalam parti.

"Saya akan bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan dengan semangat satu hati untuk mendapatkan ahli baru," katanya yang juga seorang pengurus jualan.

No comments: